Monday, November 6, 2017

KIAS akan bangkit 2018!

Insha-allah 2018, kami mensasarkan tim KIAS akan bangkit kembali untuk mewarnai kajian di Akademi Sinergi.

Mohon doa dari kalian untuk kali ini.

Sunday, July 15, 2012

Friday, December 30, 2011

Laman penuh KIAS

Alhamdulillah, laman penuh KIAS boleh dilayari di sini http://kias.akademisinergi.com/

Dari semasa ke semasa, ada entri dari laman web utama KIAS yang akan diletakkan di sini.

Terima kasih atas sokongan

Wednesday, December 28, 2011

SE: Subhanallah di Waktu Malam

Rasulullah pernah membaca ayat ini:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَاخْتِلافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لأولِي الألْبَابِ (١٩٠)الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (١٩١)

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (190) (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka. (191)


Rasulullah membacanya pada waktu bangun, melihat langit dan solat sunah pada awal pagi sebelum subuh. Rasul menangis ketika membaca ayat ini. Ada sesuatu yang tersembunyi dalam ayat ini. Ia memerlukan kemampuan kita menyatakan Subhanallah dalam memerhati alam. Seseorang yang mengucapkan Subhanallah memberi kesan kepada emosi dan intelek seseorang.

Allah Maha Suci. Kita penuh kekurangan.

SE: Antara Subhanallah dan Allahu Akbar

Subhanallah menekankan kepada konsep dalam diri. Ia berkaitan motif atau tujuan. 'Tidak sia-sia' adalah bahasa mereka yang jelas tentang tujuan sesuatu. Dalam sesuatu sistem, setiap komponen adalah penting. Tiada yang sia-sia. Kalau kita nampak sesuatu itu 'sia-sia' atau 'tidak relevan' dalam sesuatu sistem, ada dua kemungkinan:
  1. Perkara itu tidak mengikut aturan Tuhan - ia perlu dibaiki
  2. Kita sendiri yang tidak mampu melihat kebesaran Tuhan yang menjadikan perkara itu dengan tujuan yang tersendiri.
Allahu akbar dilaungkan muazin. Habis berpuasa atau ketika kita beraya puasa atau haji, kita bertakbir. Ia lambang pelaksanaan dan kejayaan. Kalau mahu bangkitkan emosi, laungkan Allahu Akbar dalam diri dengan yakin. Ia akan menjadikan kita lebih bersemangat.

Alhamdulllah di tengah-tengah

Alhamdulillah boleh diucapkan oleh individu yang nampak kehebatan Allah di alam ini. Atau nampak orang lain pakai kereta yang besar. Kita puji Allah yang memberi dan menjadikan nikmat itu. Ia bersifat konsep dalam diri - Allah yang layak dipuji.

Kalau kita sendiri yang mendapat kereta besar atau rumah besar, kita patut ucapkan Alhamdulillah. Apabila kita melaksanakan sesuatu urusan seperti makan, kita ucapkan Alhamdulillah. Ia diucapkan apabila kita dapat memuji Tuhan pada nikmat yang kita dapat atau tidak dapat secara langsung.

Apabila kita bersyukur dengan konsep dari Subhanallah, kita akan bersyukur dengan mengambil tindakan. Allahu Akbar. Saya ingin beritahu Allah yang Maha Besar memberi semua ini untuk saya laksanakan. Tiada siapa yang lebih besar dari-Nya

SE: Quran dan Sunnah

Quran memberi kita konsep dan prinsip.
Sunnah memberi kita teknik.

Dengan Quran, kita carikan teknik yang sesuai dengan Sunnah Nabi. Ia pasti akan lebih mudah dimengerti.

Quran dimanfaatkan oleh diri sendiri untuk menuju spiritual dan meningkatkan iman.
Sunnah dimanfaatkan oleh diri kepada orang lain bagi mewujudkan akhlak mulia.

Ramai orang suka akhlak mulia dan tidak menyakitkan hati. Kalau orang suka hati, ia akan mendengar apa yang kita fahami dari al-Quran. Kalau orang sakit hati, dia akan tutup idea dan hujah kita.

Subhanallah Effect membawa kita memahami konsep untuk diri sendiri yang boleh disampaikan bersama orang ramai.

SE : Adakah Subhanallah membina motif atau tindakan?

Kita semua memerlukan motivasi. Motivasi boleh dikaitkan begini:

Motive + Action = Motivation
Motif + Tindakan = Motivasi

Kalau ada motif yang jelas tetapi tidak dilaksanakan, motivasi akan merudum.
Kalau ada tindakan tanpa motif atau tujuan yang jelas, motivasi akan runtuh kerana apa yang dibuat tidak membawa ke mana.

Subhanallah sebenarnya menjelaskan motif. Ia akan menyebabkan
  1. Seseorang nampak kehebatan yang ada di alam ini
  2. Seseorang itu fikir
  3. Seseorang itu akan mengingat kepada Tuhan yang menjadikan alam ini
  4. Seseorang itu merasakan semua yang berlaku ini tidak sia-sia
  5. Ia akan menyebabkan seseorang itu banyak berdoa kerana kalau semua itu terjadi dengan baik dan mengikut sunnah, maka doa itu akan memberi kekuatan dari Tuhan untuk mencapai kejayaan berdasarkan sunnah alam atau peraturan.
Makin banyak 'Subhanallah' itu terpacul dalam diri, ia akan menyebabkan seseorang itu kurang 'blank' atau 'blur'. Diri yang jelas dengan motif kehidupan akan mengambil tindakan yang wajar untuk menjadi produktif dan berjaya.

Kalau sudah ada motif yang jelas dengan Subhanallah, Allahu Akbar menuntut kita mengambil tindakan kerana yang Maha Besar ialah Tuhan yang mampu mendorong emosi dan semangat kita untuk bertindak.